DIA, Anda dan Niat

December 1, 2008 by lisahilmi  
Filed under Cerita DUIT Internet

Salam Ceria semua.

Kesibukan membataskan waktu untuk saya menulis. Jadual harian terlalu padat apatah lagi semakin ramai ‘pelajar’ yang perlu saya bimbing.

Kali ini saya akan menulis mengenai mengenai hakikat sebenar punca kegagalan sesuatu perkara yang kita usahakan dan juga kesilapan pemikiran kita.

Sebelum itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Sdr. Mohd Fathi kerana telah berjaya melakukan ‘ice breaker’ pada 28.11.2008 (Jumaat) untuk projek video Youtube beliau. Beliau baru sahaja membeli dan mendapatkan bimbingan saya melalui Pakej Video saya.

Saya memilih untuk menyiarkan kisah beliau seperti apa yang anda baca di atas ialah kerana sebelum ini saya pernah secara berseloroh mengatakan yang beliau perlu ‘mandi bunga’ jika video beliau ditonton oleh berjuta orang tetapi gagal menghasilkan apa-apa pendapatan.

Alhamdulillah, baru beberapa klik yang beliau dapat ianya telah berjaya menghasilkan komisen pertama untuk beliau (tak perlulah mandi bunnga…lol!).

Video beliau baru sahaja ditonton beberapa ratus orang sahaja maka tidak mustahil apabila berjuta-juta penonton menonton video beliau maka pendapatan yang bakal beliau hasilkan Insya Allah akan berlipat ganda.

Baiklah,

Kembali kepada topik entri ini.

Semenjak Pakej Video saya dilancarkan saya menerima banyak pertanyaan melalui email & YM setiap hari.

Anatara soalan-soalan yang paling popular ialah :

“Kak Lisa…berapa ribu RM yang akan saya dapat kalau buat ikut teknik Kak Lisa ni?..”

“Kak Lisa…saya dah lama cuba cari duit tapi gagal…apa jaminan Kak Lisa yang saya boleh berjaya jika guna teknik Kak Lisa?…”

Sebenarnya, kedua-doa soalan di atas jika anda tanyakan kepada Irfan Khairi malah Bill Gates sekalipun mereka tidak akan mampu memberi jawapan yang tepat.

Ini kerana, jawapan kepada soalan-soalan tersebut adalah bergantung kepada DIA dan Anda.

DIA ialah Yang Maha Agung. DIA yang menentukan rezeki anda.

Anda pula selain daripada harus berusaha, anda wajib berkomunikasi dengan DIA. Anda harus selalu memohon agar apa sahaja yang anda lakukan akan dipermudahkan.

Siapa saya yang boleh memberi jaminan atas rezeki anda? Saya hanya manusia biasa. Tugas saya ialah membimbing dan membantu anda. Saya tidak boleh memberi jaminan apa-apa.

Jaminan ada pada anda. Jika anda rajin belajar dan praktikkan ilmu-ilmu diajar dan bertawakal kepada DIA maka tidak mustahil anda akan berjaya.

Jika anda malas baru buat kerja sedikit sudah merungut susah, bagaimana anda boleh berjaya?

Jaminan ada pada diri anda sendiri.

Sekarang saya kongsikan lagi satu topik iaitu NIAT.

Saya pernah berbual dengan ramai orang yang mengatakan mereka gagal memperolehi apa-apa kejayaan atau pendapatan melalui internet walaupun telah bertahun-tahun berusaha tetapi mengapa pula saya boleh berjaya.

Jawapan saya yang pertama ialah saya telah belajar dan berusaha selama hampir 6 tahun di dalam bidang ini. Itu salah satu faktor kejayaan saya.

Jawapan saya yang kedua pula, cuba anda renungkan kisah di bawah ini :

Suami saya pernah berborak di kedai mamak di Jalan Abdullah Tahir, JB pada satu malam  dengan seorang kawan beliau yang aktif dalam MLM (direct selling).

Kawan beliau meluahkan perasaan kecewa beliau disebabkan hampir 3 tahun dia berkecimpung di dalam bidang MLM tapi masih gagal mencapai apa-apa kejayaan.

Beliau mempunyai isteri dan 4 anak.

Kehidupan keluarga beliau boleh dikatakan ditanggung sepenuhnya oleh isteri beliau yang bekerja sebagai pegawai kerajaan. Ini disebabkan beliau masih gagal memperolehi pendapatan yang baik dari MLM, jika ada pun setakat beberapa ratus RM sahaja sebulan.

Beliau mengeluh dan mengeluh mengenangkan nasib malang beliau walaupun siang malam beliau berusaha untuk berjaya.

Jika anda yang tinggal di Johor Bahru anda pasti tahu yang Jalan Abdullah Tahir merupakan antara pusat hiburan malam di JB. Terdapat banyak karaoke,disko dan pub di jalan tersebut.

Semasa sedang berbual dengan suami saya, kawan suami saya sempat memerhatikan gelagat orang ramai disekeliling. Terdapat ramai orang terutama wanita yang mencari hiburan malam di kawasan itu.

Beliau berkata kepada suami saya,

“kau tengok amoi-amoi seksi tu Mie…kalau lah aku kaya nanti…tiap-tiap malam aku usung diorang ni pi disko…sekarang ni diorang tak heran kat aku sebab aku sengkek…kalau aku dah pakai BMW nanti…gerenti berbaris amoi-amoi ni nak ikut aku..” ujar beliau sambil ketawa.

Suami saya hanya tersenyum saja.

Baiklah, apa moral cerita di atas.

NIAT.

Niat ialah Doa kita kepada DIA.

Apa sahaja niat kita sebelum melakukan sesuatu adalah sangat penting sebelum ianya dimakbulkan oleh Yang Maha Agung.

Jika kita mempunyai tanggung jawab kepada keluarga tetapi kita mempunyai niat yang ‘melencong’ adakah usaha kita itu akan diberkati?

Jika kita mempunyai tanggung jawab ke atas ibubapa tetapi kita berniat untuk ‘berjoli sakan’ jika kita banyak duit, adakah usaha kita akan diberkati?

NIAT memainkan peranan sangat penting di dalam menentukan kejayaan sesuatu usaha.

Tidak mustahil jika anda berusaha keras siang malam 24 jam tetapi usaha anda gagal dan sia-sia jika apa yang anda usahakan itu tidak diberkati disebabkan NIAT ‘melencong’ yang telah anda tanamkan.

Saya sendiri mempunyai keluarga yang besar. Anak saya 6 orang. Saya ada ibu dan ibu mertua yang masih hidup. Setiap hari, apabila saya membuka komputer ini saya akan bertafakur sebentar.

Saya akan berkomunikasi dengan DIA iaitu Tuhan saya.

Saya katakan pada DIA agar DIA mempermudahkan kerja-kerja saya dan mempermudah rezeki saya kerana semua ini saya lakukan untuk keluarga saya. Saya ingin berikan segala kemudahan dan kesenangan untuk anak-anak saya. Saya ingin membalas semula kesusahan dan kepayahan ibu & mertua saya yang membesarkan saya & suami dengan memberikan mereka keselesaan dan kesenangan.

Itulah NIAT saya setiap hari sebelum saya memulakan kerja.

Alhamdulillah, selama 6 tahun ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan tetapi DIA telah membuka jalan untuk saya seluas-luasnya.

Renungkan lah.

Ubah semula niat anda jika sekiranya ianya telah jauh ‘melencong’.

Lakukan kerja-kerja anda dengan ikhlas dan penuh kasih sayang. Jiwai apa saja usaha yang anda lakukan. Tawakal kepada DIA.